Anggota penguat kuasa PBT menggunakan kamera badan bagi keselamatan, ketelusan dan kecekapan ketika bertugas. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Kamera badan bukan cari salah, bukti jika ada provokasi

SHAH ALAM, 29 OGOS: Penggunaan kamera badan pada anggota penguat kuasa dan keselamatan bukan untuk mencari kesalahan, sebaliknya bukti bagi melengkapkan laporan jika berlaku insiden luar jangka.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata peranti itu memberi keadilan kepada kedua-dua pihak sama ada anggota mereka difitnah atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa.

“Ia secara tidak langsung memberi keyakinan kepada anggota kita untuk bertugas di lapangan selain mempertahankan diri jika berlaku provokasi atau tohmahan,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau menambah alat itu memiliki paparan audio dan visual berdefinisi tinggi selain tempoh rakaman lebih panjang untuk keselamatan sekiranya berlaku serangan fizikal atau perbalahan.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada semua pihak berkuasa tempatan untuk melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan.

Selain MPS, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga sudah menggunakan alat tersebut.


Pengarang :