Anggota penguat kuasa PBT menggunakan kamera badan bagi keselamatan, ketelusan dan kecekapan ketika bertugas. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Kamera badan lindungi penguat kuasa, pastikan tadbir urus cekap

OLEH IDA NADIRAH IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) mula melengkapkan anggotanya dengan kamera badan bagi memastikan kecekapan dan ketelusan tadbir urus.

Timbalan pengarah Jabatan Pengurusan Korporat dan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata alat tersebut dipakai setiap hari atau ketika operasi khas, lapor Selangor Journal.

“Ini sebahagian tindakan proaktif kami memantau tingkah laku anggota ketika berada di lapangan, yang juga rujukan atau bukti jika berlaku kejadian tidak diingini,” kata Azfarizal Abdul Rashid, sambil menambah tiada kes dilapor setakat 23 Julai lalu.

Katanya, enam daripada 12 unit kamera tersebut kini digunakan Jabatan Penguatkuasaan.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata anggotanya menggunakan peranti berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Jelasnya, kesemua 10 unit kamera yang memiliki daya tahan bateri lapan jam menggunakan sistem pengawasan mudah alih keselamatan IAC (integriti, ketersediaan dan kerahsiaan)

“Alatan ini memiliki kualiti video 32GB dalam definisi tinggi dan mampu menangkap visual malam serta suara untuk keselamatan anggota jika berlaku serangan fizikal atau perbalahan.

“Ini juga untuk meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan ketika berurusan dengan rakyat,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada semua PBT untuk melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan.

Selain MPSJ dan MPAJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga sudah menggunakan peranti tersebut.


Pengarang :