Anggota penguat kuasa PBT menggunakan kamera badan bagi keselamatan, ketelusan dan kecekapan ketika bertugas. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

Kamera badan tak mahal, PBT diminta guna peruntukan sendiri

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini diminta mengguna peruntukan sendiri bagi membeli kamera badan memandangkan harganya tidak mahal dan mampu dimiliki.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kurang peruntukan terutama bagi PBT berstatus daerah memasang alat tersebut seharusnya tidak menjadi isu.

“Harga kamera badan tidak mencecah sehingga RM1,000 seunit dan bergantung pada jenama yang mereka (PBT) pilih, jadi tidak timbul isu mereka mampu beli atau sebaliknya.

“Bukan semua anggota penguat kuasa perlu memakai kamera badan tetapi dikhaskan kepada ketua anggota sahaja yang bertugas di lapangan bersama pasukan. Bagaimanapun, jika ada dua atau tiga (anggota) adalah lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri tidak menetapkan kuantiti minimum bagi pembelian peranti itu namun bergantung tahap keupayaan masing-masing.

“Mereka (PBT) menyambut baik pemasangan alat ini yang mampu menjadi bahan bukti jika berlaku insiden tidak diingini seperti provokasi sama ada terhadap anggota penguat kuasa mahupun orang awam.

“Selain itu, ia dapat memastikan anggota penguat kuasa menjalankan tugas mengikut tatacara operasi piawai (SOP) selain memberi perlindungan terhadap kedua-dua pihak,” katanya.

Sehingga kini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Klang sudah menggunakan peranti tersebut.


Pengarang :