Selangorkini
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninjau pameran Karnival Kerjaya Pandan 2020 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2020. Foto Facebook Dr Wan Azizah Wan Ismail
AGENDA NASIONAL

Karnival Kerjaya Pandan 2020 tawar 500 peluang kerja

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Program Karnival Kerjaya Pandan 2020 yang dianjurkan hari ini menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan dalam usaha membantu sektor terjejas akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata karnival bimbingan kerjaya selama sehari itu diharap dapat membantu individu yang kehilangan pekerjaan membina semula kerjaya.

“Harapan kami, karnival ini dapat menemukan mereka yang memerlukan pekerjaan dengan majikan yang mempunyai pekerjaan untuk ditawarkan,” katanya semasa merasmikan karnival itu hari ini.

Beliau berkata karnival tersebut menawarkan sesi temu duga, sesi taklimat bersama majikan, sesi panduan membuat resume berkualiti, khidmat nasihat perburuhan dan khidmat kaunseling serta pengurusan kewangan.

Katanya peserta yang hadir layak untuk menyertai dan mendaftar dengan Inisiatif Peduli Rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :