AGENDANASIONAL

KDN tubuh jawatankuasa siasat ketirisan perbelanjaan PDRM

KAJANG, 25 OGOS: Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat ketirisan perbelanjaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri Satu, semalam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu antara lain akan mengenal pasti sebab ketirisan dan hasil siasatan akan diserah kepada Ketua Setiausaha kementerian untuk tindakan lanjut.

“Bukan sahaja PDRM bahkan mana-mana agensi di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri) yang menerima laporan audit yang melanggar peraturan,” katanya pada sidang media bersempena sambutan Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Kajang.

Semalam, media melaporkan LKAN menyatakan PDRM dikesan membayar RM2.7 juta untuk penukaran alat ganti fotografi, melebihi had siling yang ditetapkan iaitu RM209,964.

Penukaran alat fotografi yang digunakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D6) itu melebihi RM2.49 juta daripada had yang ditetapkan.

Selain itu, PDRM juga dikesan terlebih bayar penyelenggaraan bulanan helikopter sebanyak RM105,875 bagi tempoh 19 bulan walaupun helikopter itu sudah tidak aktif lebih enam bulan dan sepatutnya menerima pengurangan 25 peratus bagi kos penyelenggaraan.

-BERNAMA


Pengarang :