Orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ke arah sifar Covid-19, jangan leka patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Memasuki hari ke-54 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, berita baik mula menyelubungi Malaysia apabila hanya satu kes positif Covid-19 dicatatkan selepas mengalami peningkatan beberapa minggu lepas.

Pastinya hari ini kita mengharap agar jumlah itu berubah menjadi sifar sekali gus membayangkan kita mempunyai harapan cerah mengakhiri ‘peperangan’ menentang pandemik maut ini andai semua tatacara operasi piawai (SOP) terus dipatuhi.

Kali terakhir kita mencecah angka kes terendah iaitu satu kes juga ialah pada 1 Julai lepas.

Namun, harus diingat kes seperti Kluster PUI Sivagangga di Kedah yang tercetus akibat kealpaan mematuhi arahan kuarantin di rumah wajar dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang.

Dengan jumlah positif sebanyak 21 kes, lima sekolah ditutup dan empat mukim di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran melibatkan 7,000 penduduk, ternyata kekhilafan ini tidak mustahil berulang jika kita terus memandang remeh SOP yang ditetapkan.

Justeru, seperti biasa Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tanpa lelah mengingatkan agar mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif kluster berkenaan supaya tampil ke kemudahan kesihatan berhampiran untuk menjalani saringan.

Begitu juga individu pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin di rumah, tetapi masih belum menjalani proses saringan kali kedua supaya tampil sebelum tindakan tegas diambil.

Rakyat Malaysia perlu meneruskan usaha membantu menurunkan kes Covid-19 di negara kita dengan mengamalkan penjarakan fizikal yang selamat, menjaga kebersihan diri terutamanya kebersihan tangan, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelakkan bertutur dengan jarak yang dekat.

Pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak juga adalah antara kunci penting untuk kita mengekang penularan virus yang belum mempunyai vaksin ini.

Beringat, “jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. SOP sudah cantik, sila patuhinya”.

-BERNAMA


Pengarang :