Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KEADILAN: Jangan potong dana, anggap kesihatan satu pelaburan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Dana yang diperuntuk dalam mengukuhkan tahap kesihatan awam perlu dilihat sebagai pelaburan, bukan kos semata-mata.

Justeru, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa kerajaan tidak memotong belanjawan tahunan bagi aspek itu terutama negara kini berperang melawan pandemik Covid-19.

“Kami berpendapat hanya dengan meningkatkan tahap perlindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita mampu menangani cabaran dan tentangan kesihatan serta ekonomi yang sedang mengesan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jurucakap Kesihatan
Dr Lee Boon Chye.

Mereka turut menggesa dana kesihatan awam dan pegawai relevan berjumlah RM5.66 bilion ditambah untuk memerangi kemelut yang berpanjangan.

Ketika ini peruntukan operasi Kementerian Kesihatan (KKM) ialah RM27.9 bilion. Bagi sumber manusia, sebanyak 78,266 kakitangan diperuntuk untuk kesihatan awam.

“Kami menggesa peningkatan sebanyak 20 peratus kepada kedua-dua kos operasi dan jumlah staf untuk kesihatan awam bagi tempoh dua tahun mendatang,” katanya lagi.

Selain itu, Anwar dan Boon Chye turut mencadangkan KKM melakukan kajian virus bagi mengesan penyakit membabitkan paru-paru terutama kelompok masyarakat berisiko tinggi seperti di pusat jagaan warga emas, penjara dan industri kolar biru.


Pengarang :