Selangorkini
Program penanaman nanas bernilai tinggi jenis MD2 di Selangor mula berhasil apabila keluasan penanaman mencecah 404 hektar. Foto: Facebook Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Keluasan tanaman nanas MD2 cecah 404 hektar

SHAH ALAM, 1 OGOS: Program tanaman nanas bernilai tinggi jenis MD2 di Selangor mula berhasil apabila keluasan penanaman mencecah 404 hektar (1,000 ekar) setakat ini, kata EXCO pemodenan pertanian.

Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri yakin keluasan tanaman dan kadar pengeluaran nanas bakal bertambah sekiranya mendapat kerjasama pihak terlibat selain disokong kecekapan strategi.

“Tanaman nanas MD2 mampu hasilkan pulangan lumayan kerana bekalannya tidak mencukupi di pasaran tempatan, malah dikelaskan dalam program tanaman sumber kekayaan baharu.

“Faktor tanaman nanas tidak cerewet dijaga menyebabkannya menjadi pilihan golongan petani moden. Setakat ini nanas ditanam di pelbagai kawasan seluruh Selangor antaranya Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Klang,” katanya kepada SelangorKini.

Harga jualan terus nanas MD2 kepada pengguna yang membeli dari kebun atau ladang boleh mencapai harga RM2 hingga RM5 sekilogram bergantung pada saiz buah.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham berkata Selangor di landasan tepat untuk menjadi pusat pengeluaran makanan bernilai tinggi negara pada masa depan.

“Selain nanas, kita telah pun memulakan projek 11 jenis tanaman bernilai tinggi iaitu nangka madu J33, halia, roselle, cendawan, jagung bijiran, lemon mattle, kelapa matag, rumput lembu, cendawan, pisang, cavendish dan sayuran bernilai tinggi seperti salad,” katanya.


Pengarang :