Ir Izham Hashim (kanan) bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika Majlis Penyerahan Kit Pertanian dan Set Agrobandar di Kebun Komuniti Flat Merpati, Pandan Indah pada 14 Ogos 2020. FOTO ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Keputusan pencarian Ikon Agro Selangor diumum 1 September

AMPANG, 14 OGOS: Keputusan pencarian 10 individu untuk dinobat sebagai Ikon Agro Selangor akan diumumkan pada 1 September, kata EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pihaknya kini dalam proses membuat penilaian terhadap kira-kira 30 individu yang menghantar permohonan setakat 17 Julai lalu.

“Kita sudah hantar pasukan untuk buat video pendek dan daripada video tersebut, seramai 20 peserta disenarai pendek yang akan dimuat naik menerusi saluran YouTube Agro Selangor.

“Konsep penjurian adalah 30 peratus daripada undian rakyat (pelayar YouTube) manakala 70 peratus lagi diadili jawatankuasa tetap dan mereka (juri) diberi tempoh seminggu untuk menilai,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kit Pertanian dan Set Agrobandar di Kebun Komuniti Flat Merpati, Pandan Indah hari ini.

Ir Izham yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan itu berkata sambutan pertandingan amat menggalakkan selain kagum dengan hasil agro peserta.

Pemilihan ikon terbahagi kepada lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan sebagai usaha menjadikan Selangor pusat bekalan makanan.

Semua 10 Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Setiap ikon menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000 selain berperanan sebagai pembimbing golongan muda bagi melahirkan lebih ramai petani moden.


Pengarang :