Orang ramai mempraktikkan pemakaian pelitup muka bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan masyarakat awam yang menggunakan pelitup muka sebelum 1 Ogos di Jalan Bukit Bintang pada 26 Julai 2020. Kompaun RM1,000 boleh dikenakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan digesa galak pemakaian pelitup muka fabrik, elak penghasilan sisa plastik

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kerajaan persekutuan dan negeri digesa untuk mula menggalakkan pemakaian pelitup muka jenis fabrik yang menepati garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membendung masalah pencemaran alam sekitar dan penghasilan sisa plastik yang tidak terkawal.

Pengerusi Kelab Kebajikan Masyarakat Gemilang Kuala Lumpur (Kelab Gemilang) Na’im Brundage berkata anggaran kasar mendapati dasar pemakaian pelitup muka berpotensi menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar 31,000 tan dan sisa pembungkusan plastik negara 27,000 tan dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup pakai buang diteruskan.

“Berdasarkan garis panduan WHO, pelitup muka perubatan pakai buang yang kini dipakai oleh sebilangan besar rakyat Malaysia hanya perlu dipakai oleh petugas kesihatan, orang awam yang mempunyai gejala dan orang awam yang berisiko tinggi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik.

“Maka kami pasti bahawa pencemaran alam sekitar dan penghasilan sisa plastik tidak terkawal boleh dibendung jika rakyat mengikut garis panduan yang ditetapkan WHO ini dan memilih untuk memakai pelitup muka jenis fabrik yang boleh dipakai semula selepas dibasuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelitup muka yang menepati piawaian WHO perlu mempunyai tiga lapisan yang terdiri daripada lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) dan lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

– BERNAMA


Pengarang :