Rakyat digalak sumbang ke dalam Tabung Pahlawan 2020. Foto: Facebook Tabung Pahlawan Veteran ATM
AGENDANASIONAL

Kerajaan galak rakyat hulur sumbangan Tabung Pahlawan 2020

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Kerajaan menggalakkan semua lapisan masyarakat menghulurkan sumbangan kepada warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka menerusi Kempen Tabung Pahlawan 2020.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata objektif kempen itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengorbanan anggota ATM dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Katanya, kempen berkenaan juga bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada veteran atau keluarga mereka, kumpulan asnaf dan golongan veteran orang kurang upaya (OKU).

“Negara kita tidak akan berjaya seperti hari ini tanpa pengorbanan mereka, dan rakyat perlu diingatkan bahawa jasa mereka (ATM) tidak boleh dilupakan. Mungkin ramai dalam kalangan anak muda tidak sedar atau tidak arif tentang perjuangan.

“Perjuangan anggota tentera kita yang terkorban nyawa atau mengalami kecederaan dan sebagainya demi mempertahankan negara, dan orang muda hari ini perlu sedar, apa yang kita capai hari ini adalah antara hasil perjuangan veteran ATM,” katanya menerusi rancangan Malaysia Hari Ini terbitan TV3, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian sempena pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas, Bandar Utama.

Memandangkan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membataskan pergerakan aktiviti mengumpul dana, Ismail Sabri berkata kempen kini giat dilaksanakan menerusi media elektronik dan media sosial untuk menghebahkan usaha mengutip dana berkenaan.

“Kita ingin libatkan semua lapisan masyarakat dalam kempen dari segi kutipan seperti pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi (IPT), atau syarikat-syarikat korporat mereka tentu ada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk memberi sumbangan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :