BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri lulus RM19.1 juta baik pulih benteng penahan banjir

DENGKIL, 18 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM19.1 juta untuk membaik pulih benteng penahan banjir Sungai Langat bagi mengatasi isu kekerapan banjir di kawasan berkenaan, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata kerja naik taraf sepanjang lapan kilometer di sungai tersebut dijangka bermula tahun hadapan dan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Pada tahun ini saja, sudah dua kali banjir berlaku iaitu pada 18 Julai dan kali kedua pada 31 Julai lalu ketika Hari Raya Aidiladha, semuanya disebabkan taburan hujan yang tinggi sehingga menyebabkan benteng penahan pecah.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri harap projek ini dapat menyelesaikan masalah dan melegakan penduduk kerana banjir menyebabkan banyak kerugian kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak naik taraf ban Sungai Langat di Taman Permata Dengkil bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, Datuk Ir Gapar Asan di sini, hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor melaporkan 22 lokasi di Hulu Langat dilanda banjir kilat membabitkan Kampung Sungai Pening, Semenyih; Kampung Bukit Dukong; Kampung Sungai Sekamat; Kampung Batu 13; Kampung Sungai Balak dan Kampung Sri Jambu.

Turut terjejas Kampung Sungai Jernih; Batu 10, Cheras; Sungai Raya, Batu 9; Kampung Bangi; Taman Muhibah; Kampung Sungai Kantan; Kampung Batu 14; Kampung Sungai Ramal; Jalan Reko; Kawasan Medan Stay Kajang; Taman Taming Jaya; SMK SAAS, Kajang; Sri Bangi, Seksyen 8; Teras Jernang; Kampung Sungai Serai dan SRA Sungai Serai.


Pengarang :