Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri teliti kerosakan Stadium Shah Alam

PETALING JAYA, 7 OGOS: Kerajaan negeri Selangor masih meneliti kerosakan yang berlaku di Stadium Shah Alam sebelum mengeluarkan perbelanjaan yang sepatutnya untuk proses menaik taraf venue berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos untuk menggantikan bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bumbung Stadium Shah Alam sahaja mencecah RM30 juta dan jika ditambah dengan kos menaik taraf keseluruhan dijangka mencecah RM250 juta.

“Saya selalu berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk baiki stadium (Shah Alam) dan sebagainya. Memang perlukan masa agak panjang, paling tidak untuk ubah bumbung (stadium) sahaja mengambil masa antara empat sehingga enam bulan untuk disiapkan.

“Kalau kita ingin membaiki bumbung, kita juga perlu lihat proses pendawaian pada keseluruhannya sebab ia akan mendedahkan kesemua wayar elektrik (di sekitar bumbung stadium).

“Sebab itu kita minta pasukan Selangor berpindah sementara ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebelum kembali ke Stadium Shah Alam pada 2022 atau 2023,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran jersi baharu kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC bagi musim 2020/21 di sebuah kedai menjual peralatan sukan di sini, semalam.

Selangor dilapor sedang mempertimbang sama ada menggunakan Stadium UiTM di Shah Alam atau Stadium MBPJ di Kelana Jaya bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia serta kempen Piala Malaysia musim ini, memandangkan Stadium Shah Alam tidak selamat digunakan berikutan keadaan bumbung yang uzur.

Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 penonton mendapat ‘sentuhan’ arkitek ternama negara, Hijjaz Kasturi dibuka secara rasmi pada Julai 1994 dan pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya pada 1994 hingga 1997 sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil siap dibina.

– BERNAMA


Pengarang :