AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerencaman kaum, etnik jadi kekuatan ekonomi negeri – MB

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kepelbagaian kaum dan etnik memilih negeri ini sebagai lokasi mencari rezeki merupakan kekuatan Selangor hingga menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kemajuan negara.

Dato’ Menteri Besar berkata walaupun mempunyai variasi penduduk, perpaduan dan keharmonian perlu dijaga selain pengalaman 63 tahun membina bangsa terus diperkukuh dan tidak disia-siakan.

“Selangor sememangnya ‘melting pot’ atau bunga rampai yang mempertemukan pelbagai etnik sama ada Mandailing, Jawa, Bugis mahupun Orang Asli semenjak dahulu dan menjadi pilihan kaum Cina dan India serta Borneo mencari rezeki.

“Krisis seperti peristiwa berdarah 1969 dan pandemik Covid-19 mendekatkan kita selain membawa kembali ke landasan perpaduan serta keharmonian seperti matlamat Rukun Negara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Facebook.

Beliau berharap perkara itu dapat dicapai melalui Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 Peringkat Negeri Selangor yang dilancarkannya semalam.

PTPN 2021-2025 dilaksanakan untuk mencapai hasrat mewujudkan negara menjulang perpaduan dan penyatuan nasional dalam tempoh lima tahun berteraskan Rukun Negara.


Pengarang :