Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (dua, kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) Program Sinergi Sosial LZS Bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diwakili oleh Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz (kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop (kanan) hari ini. Turut hadir Ahli Jemaah PERKESO, Datuk Ahmad Nazaruddin Abdul Razak (dua, kiri). Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Kerjasama LZS-Perkeso bantu asnaf, golongan terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 26 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalin kerjasama perkongsian data bagi membantu asnaf termasuk golongan terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19, mendapatkan perlindungan sosial yang menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata menerusi kerjasama dalam Program Sinergi Sosial itu, kedua-dua agensi berkenaan akan berkongsi data asnaf yang memerlukan bantuan keselamatan sosial dan penempatan pekerjaan supaya mereka mampu berdikari seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Menerusi perkongsian data ini juga, jika ada asnaf menerima bantuan sama daripada LZS dan Perkeso, contohnya bantuan rawatan mesin dialisis, sama ada LZS atau Perkeso, kita boleh tamatkan bantuan berkenaan dan menyalurkannya kepada penerima lain pula.

“Dengan cara ini, kita dapat pastikan bantuan disalurkan dengan lebih menyeluruh tanpa ada yang tertinggal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi Program Sinergi Sosial antara LZS dan Perkeso di sini hari ini.

Memorandum berkenaan ditandatangani oleh Saipolyazan mewakili LZS dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed bagi pihak pertubuhan berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ahli Lembaga Perkeso, Datuk Ahmad Nadzaruddin Abdul Razak.

Tambah Saipolyazan lagi, kerjasama berkenaan juga akan mendaftarkan asnaf yang masih produktif serta penerima bantuan zakat LZS yang kehilangan kerja akibat wabak COVID-19 di portal penjanakerjaya.perkeso.gov.my supaya mereka dapat kembali bekerja dan menjana pendapatan sendiri.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata Perkeso juga telah membangunkan sistem ‘MySynergy’ bagi menyokong program berkenaan.

Katanya, sistem itu berupaya menjana tiga jenis data iaitu data individu yang telah dibantu, yang sedang dibantu dan yang belum dibantu serta ia boleh diakses oleh setiap agensi terlibat dalam Program Sinergi Sosial.

“Jalinan kerjasama ini dilihat sebagai penyelesaian tepat terhadap permasalahan bagi membantu kedua-dua agensi untuk memastikan tiada prospek tercicir daripada menerima bantuan.

“Di samping itu, ia dapat memenuhi tanggungjawab, amanah serta fungsi masing-masing dan diharapkan kerjasama ini akan menjadi contoh kepada lembaga pengurusan zakat di negeri-negeri lain,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :