Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azrai Kassim (dua, kiri) bersama Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Sharul Zaman Yahya (dua, kanan) menukar Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di UiTM, Shah Alam pada 17 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kerjasama UiTM-Kesatuan Ragbi peluang lahir pemain cemerlang

SHAH ALAM, 17 OGOS: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalin kerjasama strategik dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi pertukaran maklumat berkaitan pengurusan dan pengetahuan sains sukan.

Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata kolaborasi itu membuka peluang bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan projek yang bakal menguntungkan kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini tepat pada masanya kerana ia turut menyediakan ruang latihan industri untuk pelajar dan staf Fakulti Sains Sukan Rekreasi (FSR) serta mewujudkan persefahaman mengenai hubungan keusahawanan antara FSR dan KRM.

“Selain itu, ia dapat mempromosikan maklumat dan aktiviti dijalankan kedua-dua pihak melalui laman sesawang masing-masing termasuk kerjasama dalam bidang lain yang dipersetujui dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam di sini hari ini.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azrai Kassim (kiri) bersama Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Sharul Zaman Yahya (kanan) bergambar bersama selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di UiTM, Shah Alam pada 17 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berharap kerjasama tersebut membolehkan lebih ramai pemain ragbi ditempatkan di universiti berkenaan bagi melahirkan pemain yang cemerlang dalam bidang sukan dan pendidikan.

“Ini adalah siri hubungan cuba dijalin dengan pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya UiTM yang menjadi salah satu daripada pusat tumpuan sukan ragbi selain hampir keseluruhan pemain ragbi kebangsaan terdiri daripada pelajar UiTM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman berkata hasrat pihaknya untuk melantik seorang jurulatih asing dari New Zealand bagi mengemudi pasukan 7-sebelah (7s) negara sedang dikaji semula susulan kesan pandemik Covid-19 yang memerlukan peruntukan besar.

“Buat masa ini latihan bagi pasukan lelaki dan wanita masih menggunakan khidmat jurulatih sedia ada.

“Bagaimanapun, daripada segi jurulatih luar negara masih lagi dibincangkan dan diperhalusi pengarah kejurulatihan KRM Lee Nyuk Fah yang sedang mengenal pasti calon lain selain calon sedia ada,” katanya.

Mengulas pembinaan stadium ragbi di Presint 14, Putrajaya, Shahrul berkata kerja di tapak dijangka bermula September ini menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) berjumlah RM17 juta.


Pengarang :