Orang ramai mematuhi penjarakan fizikal semasa berada di sebuah restoran di sekitar Teluk Kumbar yang dikaitkan dengan kluster Tawar pada 16 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes aktif kluster Tawar tinggi, KKM beri perhatian

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada kluster Tawar selepas mencatat kes aktif tertinggi.

KKM berkata sejak 12 Ogos lalu hingga semalam, kluster mula dikesan di Kedah itu merekodkan 73 kes positif dengan enam pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

“Setakat ini kluster tidak babitkan kematian. Ia merebak ke empat daerah dengan kes tertinggi direkodkan di Kuala Muda sebanyak 26 kes.

“Baling mencatat 20 kes, Kulim (15) dan Sik (satu). Kluster ini turut merebak ke tiga daerah di Pulau Pinang membabitkan enam kes di Timur Laut, Barat Daya (empat) dan Seberang Prai Utara (satu),” katanya melalui kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut KKM, punca jangkitan kes indeks yang merupakan lelaki tempatan bekerja membekal makanan ringan dan penjual besi buruk masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa berkata pihaknya mengesyaki kluster Tawar berkemungkinan berpunca daripada strain mutasi D614G.

Bagaimanapun perkara itu hanya boleh disahkan selepas ujian makmal dibuat.

Setakat ini, KKM mengesahkan mutasi D614G dikesan dalam kluster PUI Sivagangga dan Ulu Tiram.


Pengarang :