AGENDANASIONAL

20 kes baharu Covid-19, 13 penularan tempatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Jumlah kes Covid-19 terus meningkat daripada 15 kepada 20 hari ini membabitkan 13 penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 jangkitan dalam negara membabitkan kluster Tawar dengan 10 kes dikesan di Kedah manakala satu di Pulau Pinang.

“Dua kes lain lagi turut direkodkan di Kedah termasuk satu kes dari kluster baharu, kluster Muda.

“Tujuh kes lagi merupakan kes import. Tiga kes menerima jangkitan dari Lubnan manakala satu kes masing-masing dari Indonesia, Perancis, Yaman dan Taiwan. Keseluruhan sebanyak 9,149 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 196 kes aktif dengan kebolehjangkitan dan empat pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kekal 125 kes iaitu 1.37 peratus dari keseluruhan.

“Sehingga 12 tengah hari tadi tujuh kes disahkan pulih dan dibenar keluar hospital. Ini menjadikan kes sembuh mencecah 8,828 kes iaitu 96.6 peratus,” katanya.


Pengarang :