Pelajar memakai pelitup muka selepas pemerintah Indonesia membuka kembali sesi persekolahan dengan melaksanakan proses pembelajaran secara bersemuka di tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19 di Bekasi, di pinggiran Jakarta, Indonesia pada 13 Julai 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Kes Covid-19 di Jakarta melebihi 1,000 sehari

JAKARTA, 31 OGOS: Kes positif baharu Covid-19 di Jakarta direkod melebihi angka 1,000 kes untuk tempoh dua hari berturut-turut sejak semalam, menjadikan provinsi itu kini mencatatkan kes positif keseluruhan berjumlah 40,086 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Prof Wiku Adisasmito dalam sidang medianya yang disiarkan di youtube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) berkata, 1,049 kes positif baharu direkodkan di Jakarta dalam tempoh 24 jam lepas, selepas mencatatkan 1,094 kes positif baharu pada hari sebelumnya.

Beliau berkata pemerintah Jakarta perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan menerusi Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) fasa transisi di Jakarta, yang antaranya mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, penjarakan fizikal di tempat awam dan kerja serta rumah ibadat.

Bagi jumlah kes positif keseluruhan di Indonesia, kes positif virus itu kini meningkat kepada 174,796 iaitu tambahan sebanyak 2,743 kes.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 74 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan di Indonesia kini 7,417 orang.

Provinsi Jawa Timur menjadi provinsi kedua tertinggi kes positif virus itu iaitu 33,543 kes. Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,370 orang, diikuti Jakarta (1,198), Jawa Tengah (998), Sulawesi Selatan (360) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA


Pengarang :