Guru Norazliza Che Soh memerhatikan murid prasekolah membasuh tangan sebelum memasuki kelas pada hari pertama persekolahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sekolah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keselamatan pelajar di sekolah terkawal jika patuh SOP

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Pembukaan semula sekolah bermula pada akhir bulan Jun, pastinya memberi kelegaan kepada pelajar, guru dan ibu bapa setelah kira-kira tiga bulan sekolah diarahkan tutup susulan penularan pandemik Covid-19.

Namun, dalam keadaan pelajar dan guru teruja menjejakkan kaki di sekolah untuk menyambung kembali sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang tertangguh akibat wabak penyakit itu sejak Mac lepas, ibu bapa adalah antara yang risau terhadap aspek keselamatan anak mereka.

Menyedari kebimbangan itu, pelbagai perubahan dan persiapan rapi dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah bagi memastikan warga sektor pendidikan terhindar daripada wabak tersebut, sekali gus sesi persekolahan dapat berjalan dengan lancar.

Selepas hampir dua bulan sekolah dibuka semula sejak 24 Jun, tinjauan Bernama mendapati rata-rata ibu bapa berpuas hati dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) yang dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

Antara SOP yang diperkenalkan ialah pemeriksaan suhu badan setiap hari bagi pelajar, guru dan individu yang berurusan dengan pihak sekolah, di samping arahan melarang ibu bapa menghantar anak yang bergejala atau tidak sihat untuk hadir ke sekolah.

Langkah itu bertepatan setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah sejak April lepas.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Segambut, K. Selvakumar percaya sekiranya semua SOP itu dipatuhi, sudah tentu penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga sekolah dapat dikawal.

“SOP sedia ada oleh Kementerian Pendidikan ini bagus dan memadai kerana ia dibuat selepas banyak perbincangan beberapa bulan sebelum (sekolah) dibuka untuk menjaga keselamatan murid, guru dan orang ramai.

“Untuk memastikan SOP dapat dipatuhi sebaiknya, pihak PIBG juga perlu memainkan peranan bekerjasama dengan pihak sekolah. Misalnya, kami menyalurkan bantuan kepada sekolah dengan menaja beberapa alat penyukat suhu badan dan cecair pensanitasi tangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ahli jawatankuasa PIBG sekolah itu turut membantu pihak sekolah melalui kawalan pergerakan masuk murid-murid ke sekolah pada setiap pagi bagi mengelak kesesakan.

Selvakumar berkata selain pematuhan SOP di sekolah, ibu bapa perlu mendidik anak di rumah mengenai kepentingan menjaga jarak fizikal serta amalan penjagaan kebersihan diri seperti mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka.

Sementara itu, Perdip Singh, 42, yang menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, berkata pihak sekolah berjaya mendidik dan mengingatkan murid serta ibu bapa agar mematuhi SOP yang digariskan KPM.

“Pihak sekolah juga memaklumkan ibu bapa sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan SOP dan COVID-19, malah sebelum sekolah dibuka, sekolah ada kongsikan link video menerangkan SOP persekitaran sekolah dan kelas.

“Saya dan anak menonton video itu bersama-sama dan saya juga menasihati anak supaya patuh SOP untuk keselamatan semua,” katanya yang mempunyai anak belajar di Tahun Enam.

KPM sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sekolah bermula pada 24 Jun melibatkan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Sementara sesi persekolahan murid Tahun Lima, Tahun Enam, Tingkatan Enam Semester 1, kelas peralihan serta Tingkatan Satu hingga Empat dibuka semula pada 15 Julai, manakala bagi murid Tahun Satu hingga Empat pula bermula pada 22 Julai.

– BERNAMA


Pengarang :