Selangorkini
Pelajar perlu melakukan pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai salah satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

KKM: 64 jenama termometer infra merah dapat kebenaran

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan 64 jenama termometer infra merah diimport bagi menyukat suhu badan, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua jenama tersebut melepasi ujian keselamatan dan prestasi bagi memastikan peralatan berfungsi dengan berkesan ketika melakukan saringan kesihatan.

“Bagi pendaftaran dan pemasaran termometer di Malaysia, peralatan dibekalkan dalam pasaran perlu mematuhi aras menunjukkan keselamatan dan prestasinya.

“KKM sedar terdapat bahan tersebut tidak berdaftar atau mendapat kebenaran akses dalam pasaran. Adalah diingatkan KKM melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) memantau situasi dan akan mengambil tindakan sekiranya melanggar undang-undang di bawah Akta 737,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata ia selamat digunakan serta menegaskan dakwaan penggunaan peralatan tersebut menyebabkan kecederaan otak tidak tepat.

“Termometer tanpa sentuh bukan alat penembak dan tidak memancarkan radiasi kerana direka bentuk untuk mengesan serta menyerap isyarat sinaran infra merah dari permukaan kulit yang diubah menjadi isyarat elektrik.

“Litar elektronik dalam termometer memproses isyarat elektrik untuk menentukan suhu tubuh manusia yang diukur dan memaparkannya di skrin paparan,” katanya.

Beliau berkata kajian dilakukan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM mendapati tiada bukti saintifik mengenai kesan sampingan penggunaannya untuk mengukur suhu di dahi.


Pengarang :