Petugas kesihatan memegang kit ujian sebelum membuat proses calitan bagi mengumpul sampel Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

KKM: Dua kes baharu kluster Sala di Kedah

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kluster Sala di Yan, Kedah merekodkan pertambahan dua kes positif Covid-19 menjadikan jumlah setakat ini enam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 273 individu disaring di Kedah dan Pulau Pinang.

“Seramai 269 orang disaring di Kedah dengan enam kes positif, 214 negatif manakala 49 individu masih menunggu keputusan.

“Empat lagi individu disaring di Pulau Pinang dan kesemuanya didapati negatif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan pengesanan kes secara aktif selain meneruskan aktiviti pencegahan dan pembendungan jangkitan manakala punca jangkitan masih disiasat.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan kes positif pertama kluster dikesan membabitkan warganegara Malaysia pada 13 Ogos lalu.

Pengesanan kes 9,148 itu dibuat melalui sistem survelan klinikal jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Pertambahan kluster Sala pada 15 Ogos lalu menjadikan jumlah kluster aktif di seluruh negara kini adalah 22.


Pengarang :