Petugas barisan hadapan melalui rutin harian melakukan saringan Covid-19. Foto Facebook Dr Noor Hisham.
AGENDANASIONAL

KKM kesan dua kluster baharu

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kluster baharu iaitu Kurau dan Meranti hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Kurau mencatatkan kes positif kelmarin membabitkan kes ke-9,050 dan ia menjangkiti kes ke-9,082 iaitu abang iparnya.

“Pengesanan melalui kes secara aktif dan kontak rapat. Lima ahli keluarga kes ini turut disaring namun negatif.

“115 individu lain turut disaring, 106 kes negatif manakala sembilan kes masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster Meranti pula dikesan dari kes ke-9,083 iaitu petugas kesihatan yang disahkan positif semalam.

Katanya, petugas berkenaan mempunyai kontak dengan kes ke-8,968 yang dikesan pada 31 Julai lalu ketika saringan pra-pembedahan.

“Pesakit ini mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kes ke-9083 bertugas. Setakat ini 15 individu telah disaring. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.


Pengarang :