AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: Semua pemilik premis bakal wajib guna Mysejahtera

PUTRAJAYA, 4 OGOS: Kerajaan akan mewartakan pengunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif Covid-19.

“Cabaran kementerian untuk mengesan kontak rapat sebab pertama premis tidak menggunakan MySejahtera atau aplikasi lain.

“Kedua, premis tiada mempunyai rekod pelanggan. Sepatutnya premis perlu ada rekod pelanggan termasuk nombor telefon pelanggan yang masuk ke premis tersebut,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Menjawab soalan mengenai tindakan KKM mengesan kontak rapat di premis yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, Dr Noor Hisham berkata KKM telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di kawasan terlibat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan Pejabat Peguam Negara akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara dengan pengecualian dibenarkan di kawasan luar bandar, bandar kecil yang tidak mempunyai capaian Internet.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihati masyarakat agar tidak mengambil tindakan berupa ancaman fizikal terhadap pesakit Covid-19 kes index 8937, yang menjadi punca jangkitan kepada Kluster PUI Sivagangga.

“Individu tersebut memang telah melanggar kepatuhan dan kita telah denda individu itu. Jangan kita menjalankan atau mengambil undang-undang di tangan kita. Biarkan penguatkuasaan jalankan dan gunakan Akta 342 dan akta lain yang berkaitan,” katanya.

Mengenai Kluster Bukit Tiram, beliau berkata KKM tidak menolak kemungkinan jangkitan kluster itu berpunca daripada seorang daripada dua penuntut rakyat tempatan yang kembali dari Filipina.

Katanya, KKM menjalankan saringan sasaran bagi komuniti Roman Katholik di Johor sebagai tindakan proaktif bagi mengesan dan pemantauan, sebagaimana yang dilakukan semasa kes sekolah tahfiz dan jemaah tabligh.

Kluster Bukit Tiram mula dikesan pada 25 Julai selepas mengenal pasti dua kakitangan bukan warganegara pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor yang dilaporkan positif.

Pada Sabtu lalu, KKM mengesan kes positif Covid-19 pertama di luar Johor bagi Kluster Bukit Tiram membabitkan bukan warganegara di Selangor.

Setakat semalam, dilaporkan 142 saringan telah dijalankan dan dari jumlah itu 10 kes adalah positif yang mana empat melibatkan bukan warganegara.

– BERNAMA


Pengarang :