Tadika Kemas Kampung Natoi antara tadika yang ditutup pada 29 Julai 2020 bagi mencegah penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Sivagangga: Empat mukim dikenakan PKPD pentadbiran

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kira-kira 7,000 penduduk di empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran (Temco) bermula hari ini sehingga 30 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan pertambahan 11 kes baharu kluster Sivagangga.

“Pelaksanaan PKPD Temco akan mengguna pakai tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar,” katanya hari ini.

Menurutnya, mukim terbabit adalah radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu); Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah,Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

Ismail menjelaskan petugas Kementerian Kesihatan akan membuat saringan Covid-19 terhadap semua penduduk di kawasan terbabit.

“Kawasan masjid dan rumah ibadat turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat. Jemaah dibenarkan seramai tiga orang untuk melaksanakan solat jemaah di masjid tersebut,” katanya.


Pengarang :