Proses sanitasi dijalankan di Klinik Kesihatan Napoh di Jitra, Kedah yang menjadi pusat saringan Covid-19 berikutan terdapat kluster baharu di kawasan tersebut ketika tinjauan pada 6 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Sivagangga: Enam lagi kes baharu wabak dikesan

SHAH ALAM, 6 OGOS: Enam daripada 15 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam negara hari ini, dikesan daripada kluster Sivagangga, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemuanya merupakan kes generasi kedua kluster itu dengan lima daripadanya merupakan satu keluarga, yang mempunyai sejarah mengunjungi salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, di negeri Kedah.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga tersebut, adalah masih di dalam siasatan,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan pandemik itu, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kes daripada kluster berkenaan pula mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarganya, yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

“Individu berkenaan mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos. Kes kemudiannya dikesan positif Covid-19 pada 5 Ogos 2020, dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Ahli keluarganya turut disaring untuk Covid-19 dan masih menunggu keputusan,” katanya menambah bahawa pihaknya akan meneruskan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini dan aktiviti pengesanan kes secara aktif.

Beliau berkata sehingga hari ini, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster berkenaan, dengan 30 kes dikesan positif, 1,617 negatif, manakala 704 lagi yang mana pensampelan diambil semalam, masih menunggu keputusan.

“Ingin dimaklumkan daripada siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9,023 dari Kulim (kes yang dilaporkan pada 5 Ogos), seramai 15 kontak rapat pesakit telah dikenal pasti dan disaring. Punca jangkitan kes ini adalah masih di dalam siasatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :