Notis penutupan sementara taman awam dipamerkan berikutan terdapat satu kes Covid-19 pada Jumaat lepas di Mukim 9, Teluk Kumbar ketika tinjauan di Taman Poket pada 16 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Tawar: Teluk Kumbar lengang susulan SOP diperketat

GEORGE TOWN, 16 OGOS: Tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih ketat dikenakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke atas premis perniagaan termasuk makanan di Teluk Kumbar susulan laporan satu kes positif Covid-19 di situ pada Jumaat lepas, menyaksikan kawasan tersebut lengang.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai seakan-akan ‘menjauhi’ kawasan tersebut, sekali gus menjejaskan rezeki khususnya peniaga warung makanan yang pelanggannya tidak dibenarkan makan di premis.

Pengurus Nasi Kandar Heritage, Ibrahim Mydin, 38 berkata bilangan pelanggan ke restoran itu berkurangan sejak kes positif Covid-19 dilaporkan berhampiran kawasan berkenaan.

“Penduduk di sini telah mengambil langkah berjaga-jaga dan mereka hanya bungkus makanan mereka balik makan. Tidak ramai yang makan di sini lagi walaupun ‘dine-in’ dibenarkan di restoran kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

SOP itu yang berkuat kuasa semalam bermula dari sempadan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Jalan Teluk Kumbar hingga simpang lampu isyarat Puspakom, Kampung Tengah serta sekitar Gertak Sanggul.

Seorang peniaga minuman di Warung Simpang Tiga, Mohamad Amin Mohamad Zaini, 29, pula berkata peniagaannya terjejas selepas arahan baharu tidak membenarkan pelanggan menikmati makanan dan minuman di gerai penjaja di tepi jalan.

“Selalunya penduduk sini akan datang pada waktu pagi untuk menikmati makanan mereka namun hari ini tidak ramai yang datang walaupun untuk bungkus,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa taman permainan di kawasan Teluk Kumbar juga ditutup kepada orang ramai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz, lebih 100 peniaga kecil-kecilan di tepi jalan akan terjejas pendapatan susulan arahan terbaharu MBBP itu.

“Saya berharap para peniaga dapat bersabar kerana tindakan ini adalah demi kepentingan semua dan setakat ini keadaan di sini masih terkawal. Penduduk kawasan Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul harus mengikut semua SOP yang ditetapkan dan mengurangkan aktiviti berkunjung atau himpunan orang ramai,” katanya.

Jumaat lepas, satu kes positif Covid-19 dilaporkan di kawasan Teluk Kumbar melibatkan kluster Tawar di Kedah.

-BERNAMA


Pengarang :