Grafik Media Selangor
AGENDAEKONOMINASIONAL

Konflik AS-China tidak jejas dagangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China sejak awal 2018 tidak memberikan impak besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan AS untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 ialah RM80.41 bilion meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tempoh sama 2019.

Nilai eksport Malaysia ke AS meningkat pada kadar 2.4 peratus kepada RM46.15 bilion dan import pula bernilai RM34.26 bilion meningkat 4.1 peratus.

Hampir 80 peratus eksport Malaysia ke AS disumbang produk elektrik dan elektronik, produk keluaran getah, peralatan optikal dan saintifik, produk keluaran kayu serta produk perkilangan lain.

Produk yang menyumbang kepada 76 peratus import dari AS adalah produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan bahan kimia, mesin dan peralatan, peralatan optikal dan saintifik serta produk perkilangan logam.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia dengan China bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 turut mencatat peningkatan 0.3 peratus kepada RM149.16 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

Eksport Malaysia ke China pada tempoh sama bernilai RM69.43 bilion meningkat pada kadar 8.3 peratus disokong eksport utama iaitu elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, produk petroleum, pembuatan logam serta barangan perkilangan yang lain.

Import pula menurun 5.8 peratus kepada RM79.73 bilion, di mana import utama merangkumi produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan dan bahagian, kimia dan produk kimia, produk petroleum serta pembuatan logam.

“Prestasi perdagangan Malaysia sedikit merosot bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang bermula pada awal tahun dengan jumlah perdagangan berkurangan tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

“Eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion dan import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion. Lebihan dagangan pula bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh sama 2019,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang ingin tahu mengenai kesan perang perdagangan antara AS dan China selain pandemik Covid-19 terhadap import dan eksport Malaysia bagi 2020.

Bagaimanapun, MITI menjelaskan terdapat peluang perniagaan bagi sektor tertentu, contohnya sektor keluaran getah iaitu eksport sarung tangan getah yang melonjak 40.3 peratus bagi tempoh tersebut disokong permintaan tinggi dalam pasaran global berikutan wabak itu.

“Peningkatan eksport turut dilihat bagi produk peralatan perubatan seperti kit pemeriksaan, pembasmi kuman dan barangan persediaan pembasuh kulit,” katanya.

Menyedari perang perdagangan AS-China dan penularan Covid-19 masih berterusan, Miti menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) proaktif bagi menangani impak perdagangan ke atas Malaysia.

Antaranya memberi fokus kepada penggunaan teknologi digital dalam usaha membantu syarikat mengurangkan kos promosi eksport bagi memastikan syarikat pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Memanfaatkan platform digital untuk mengatur pemadanan perniagaan (eBizMatch) antara pembeli berpotensi dengan syarikat pembekal Malaysia, kementerian itu berkata, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2020, sebanyak 576 padanan perniagaan diadakan iaitu 395 pembeli asing dipadankan dengan 538 syarikat Malaysia yang menghasilkan potensi jualan RM461.35 juta.

Selain itu menerusi tinjauan dilakukan, Matrade memperluaskan skop Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) meliputi aktiviti promosi perdagangan secara maya sejajar dengan Pakej PENJANA.

MDG turut menampung 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk ke luar negara, seiring hasrat kerajaan meringankan beban kewangan dialami syarikat pengeksport Malaysia.

“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 1,427 permohonan daripada 962 syarikat diproses dengan geran RM14.56 juta disalurkan,” kata kementerian itu.

Menurut Miti, Matrade juga mengadakan beberapa sesi Virtual Trade Clinic (VTC) iaitu platform khidmat nasihat perdagangan membantu syarikat mematuhi keperluan dan mengatasi cabaran eksport dalam usaha memulihkan operasi dan perancangan eksport syarikat.

Sebagai permulaan, Matrade dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Electrical and Electronics Productivity Nexus (EEPN) dan Machinery and Equipment Productivity Nexus (MEPN) menganjurkan VTC bagi syarikat elektrikal dan elektronik.

-BERNAMA


Pengarang :