Selangorkini
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Bil 3/2020 pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH NASIONAL

KPN: 144 sindiket dadah tumpas sepanjang tujuh bulan 2020

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Polis berjaya menumpaskan 144 sindiket dadah dan menahan 43 ahli sindiket itu di seluruh negara sepanjang bulan Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata susulan penahanan itu polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM245 juta dan membongkar 13 buah makmal memproses dadah.

“Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini iaitu kejayaan yang paling besar dicapai oleh JSJN (Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik) dengan melumpuhkan 144 sindiket dadah walaupun sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) kita tetapkan pada awal tahun adalah 30 sindiket untuk tahun ini.

“Saya yakin bahawa usaha memerangi ancaman dadah ini menghasilkan skejayaan dalam masa terdekat sekiranya momentum seperti ini dapat digerakkan, bukan sahaja KPI yang saya pentingkan tetapi matlamatnya iaitu untuk mengurangkan dan menghapuskan aktiviti pengedaran dadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua JSJN Semalaysia Bil 3/2020 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah menunjukkan peningkatan setiap tahun.

“Ancaman kegiatan penyalahgunaan dadah, aktiviti pengedaran, penjualan, kegiatan import dan eksport dadah ke luar negara amat serius. Kita perlu berhati-hati dan sekiranya kita tidak serius menangani ancaman dadah ini, tidak mustahil negara kita akan jadi sebagaimana beberapa buah negara Latin yang mengalami masalah di mana mafia-mafia dadah ini menguasai negara berkenaan pada tahun 1980-an, 1990-an atau awal tahun 2000,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata beliau akan bertemu dengan Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan isu bebanan kerja yang dihadapi pegawai JSJN susulan rungutan diterima pihaknya berhubung seorang pegawai jabatan berkenaan bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 14 kertas siasatan (IP) sebulan.

“Bukan saja (bertanggungjawab terhadap) 14 IP, pegawai penyiasat kita juga perlu membuat susulan yang lain ke atas setiap kertas siasatan itu, dan banyak tanggungjawab dikehendaki oleh undang-undang yang terpaksa dikendalikan oleh pegawai penyiasat kita. Jadi jelas bahawa bebanan tugas yang dipikul oleh jabatan narkotik amat berat sekali,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :