AGENDANASIONAL

KTMB perkenal sistem tiket baharu bermula 17 Ogos

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan sistem tiket baharu secara dalam talian bagi meningkatkan mutu penjualan tiket bermula 17 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Datuk Kamarulzaman Zainal berkata sistem dikenali sebagai KTMB Integrated Ticketing System (KITS) itu diharap dapat meningkatkan jumlah pembelian tiket secara dalam talian dengan lebih lancar dan terjamin.

“Kami sedar masalah dihadapi sebelum ini berlakunya kesesakan penjualan tiket kerana terlalu ramai pengguna dalam talian pada satu-satu masa.

“Jadi kami hendak elakkan perkara itu dengan menggunakan teknologi cloud untuk memudahkan pengguna membeli tiket di kaunter atau secara dalam talian di rumah,” katanya kepada pemberita selepas meraikan Majlis Ulang Tahun KTM Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di KL Sentral di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata sistem baharu itu diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan penjualan tiket di kaunter selain memudahkan pengguna membeli tiket secara dalam talian.

Sempena ulang tahun kedua-dua perkhidmatan itu, beliau berkata tiket percuma akan diberikan kepada 25 penumpang pertama yang akan menaiki komuter di setiap stesen KTM Komuter Lembah Klang pada 25 Ogos ini.

“Hadiah berupa tiket-tiket percuma ETS juga diberikan kepada pemenang peraduan ucapan ulang tahun Komuter dan ETS yang berakhir semalam,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Kamarulzaman berkata perkhidmatan KTM Komuter kini menjangkau usia 25 tahun manakala tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 bagi perkhidmatan ETS.

“Bermula dengan laluan antara Rawang (Selangor) dan Kuala Lumpur pada 3 Ogos 1995, kerajaan ketika itu memutuskan memberi perkhidmatan (Komuter) percuma untuk 11 hari pertamanya kepada rakyat.

“Jasanya (Komuter) beroperasi tujuh hari seminggu selama 25 tahun itu, telah membolehkan lebih 742 juta penumpang tiba ke destinasi masing-masing,” katanya sambil menambah komuter sebagai pengangkutan kereta api elektrik pertama diperkenalkan di Malaysia.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada 2010 antara Kuala Lumpur dan Ipoh (Perak), ETS pula telah membawa lebih 23 juta penumpang sehingga kini.

“Operasinya juga telah merangkumi di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :