Pengasas The Rojak Projek, Faye Lim menghasilkan potret Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggunakan bahan nasi lemak pada Program Jom Daftar Undi di SS2 Basketball Court, Petaling Jaya pada 15 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lakar potret MB guna elemen nasi lemak di Jom Daftar Undi

PETALING JAYA, 16 OGOS: The Rojak Projek mempamer kreativiti dengan menghasilkan potret Dato’ Menteri Besar menggunakan elemen nasi lemak.

Pengasasnya, Faye Lim menyiapkan lakaran wajah Dato’ Seri Amirudin Shari dalam tempoh hampir sejam menggunakan cebisan daun pisang.

Beliau yang ditemui pada program Jom Daftar Undi anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunku berkata hampir 500 potret menggunakan elemen makanan telah dihasilkan di negeri yang dikunjunginya.

“Sempena kemerdekaan kali ini kami memilih nasi lemak sebagai elemen dalam penghasilan potret Dato’ Menteri Besar dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Tunku, Lim Yi Wei.

“Ini juga merupakan projek penyatuan berteraskan makanan. Kami akan sunting potret yang telah siap sebelum dicetak menjadi sekeping poskad,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Bola Keranjang SS2 di sini.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei (dua dari kanan) melihat orang awam mendaftar pada Program Jom Daftar Undi di SS2 Basketball Court, Petaling Jaya pada 15 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Yi Wei berkata program seumpama itu pernah dianjurkan sebelum ini di pejabatnya dan Pangsapuri Sri Aman.

Beliau menambah pihaknya bekerjasama dengan Team Selangor dan The Rojak Project untuk menghasilkan potret khas untuk 100 pendaftar pertama program terbabit.

“Ini merupakan usaha merapatkan rakyat Malaysia menerusi makanan. Mereka (The Projek) akan susun ramuan dalam nasi lemak seperti ikan bilis, kacang dan nasi untuk membentuk sebuah potret,” katanya.


Pengarang :