Pengurus Universiti Lazada Malaysia, Hansini Thedchanamoorthy menyampaikan taklimat mengenai platform e-dagang itu dalam program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di Bukit Raja, Klang pada 22 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Lazada catat aliran penjual 300 peratus sejak PKP

KLANG, 22 OGOS: Platform e-dagang terkemuka Malaysia, Lazada merekodkan peningkatan 300 peratus aliran penjual sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana Mac lalu.

Pengurus Universiti Lazada Malaysia, Hansini Thedchanamoorthy berkata penutupan banyak sektor ketika itu memberi kesan terhadap ekonomi dan menjadi faktor peningkatan berganda kemasukan penjual baharu.

“Ketika PKP dikuatkuasakan Lazada sudah kenal pasti masalah yang timbul dan kita ambil langkah menawarkan Pakej Kedai Pintar untuk menarik penjual baharu.

“Tindakan kami mendapat sambutan kerana ketika itu ramai terkesan termsuk dibuang kerja. Jadi kami sasarkan perniagaan secara dalam talian boleh berjalan dan membantu ramai pihak,” katanya ketika ditemui di program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 hari ini.

Pengurus Universiti Lazada Malaysia, Hansini Thedchanamoorthy. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menurut Hansini, pihaknya turut menjangkakan kenaikan untung direkodkan penjual Lazada berikutan penerapan normal baharu susulan penularan pandemik Covid-19.

“Sekarang orang ramai memilih pembelian secara maya atas faktor keselamatan dan kesihatan. Harga dalam talian juga lebih murah kerana banyak potongan harga ditawarkan. Jadi ini membawa keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Hansini berkata penjual baharu yang menyertai Lazada melalui program anjuran Kerajaan Selangor hari ini mendapat lebih nilai tambah apabila dibekalkan informasi terkini dan lengkap.

Melalui program berkenaan, peserta akan didedahkan dunia e-dagang termasuk platform perniagaan, urus tadbir dan penghantaran barang.

Selain Lazada, program di bawah Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) memasuki tahun keenam itu turut mendapat kerjasama Shopee, Boost, Avana, Ninja Van, Bungkusit, Hijrah Selangor dan Youbeli.


Pengarang :