Alat penimbang yang digunakan peniaga dikesan menyalahi Akta Timbang dan Sukat 1972 ketika menjalankan urus niaga. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

Lebih 2,700 peniaga dikompaun langgar Akta Timbang dan Sukat 1972

KUALA BERANG, 23 OGOS: Seramai 2,729 peniaga dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak Januari hingga kini kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan nilai kompaun sebanyak RM378,500.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata tindakan itu adalah hasil pemeriksaan di 337,546 buah premis seluruh negara dan menerusi pemeriksaan itu juga pihaknya merampas alat timbangan dengan nilai keseluruhan RM349,600.

“Ia melibatkan pelbagai kesalahan yang dilakukan peniaga di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, termasuk menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentukurkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan alat timbang dan sukat digital kepada 29 peniaga gerai kecil di sekitar Kampung Gaung, di sini hari ini.

Rosol turut mengingatkan para peniaga supaya tidak membeli alat timbang dan sukat secara dalam talian kerana kebanyakannya tidak ditentukurkan untuk aktiviti perniagaan.

“Memang alat tersebut kalau beli secara dalam talian lebih murah tetapi tidak ditentukurkan kerana kebanyakannya diimport dari luar negara. Peniaga dinasihatkan membeli alat timbang dan sukat yang telah ditentukurkan di kedai-kedai diiktiraf oleh kementerian (KPDNHEP),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :