Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kedutaan Malaysia di Bangkok. Foto: Facebook Kedutaan Malaysia
AGENDAGLOBAL

Lemang, rendang ubati rindu warga Malaysia di Bangkok

BANGKOK, 2 OGOS: Akibat slot penerbangan terhad ketika penularan pandemik Covid-19, ramai rakyat Malaysia mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman dan membuat keputusan menyambut Aidiladha semalam di perantauan.

Warga Malaysia yang tinggal di luar negara bukan sahaja merindui kesibukan persiapan menyambut Aidiladha malahan juga juadah Hari Raya – lemang dan rendang.

Bagi rakyat Malaysia di Bangkok, yang tidak dapat pulang ke kampung tahun ini, mereka berpeluang menikmati hidangan istimewa itu yang disediakan oleh kakitangan Kedutaan Malaysia di sini.

Projek khas ‘Lemang4Fund’ oleh Biro Keusahawanan Kelab Sukan dan Kebajikan Kedutaan Malaysia di Bangkok yang bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi aktiviti kelab, selain memberi cita rasa Malaysia kepada rakyat Malaysia dan yang lain di Thailand.

Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Malaysia di Bangkok, Suzilah Mohd Sidek berkata kakitangan kedutaan (semua pegawai dan pasangan yang bertugas di agensi di bawah kedutaan) mengambil masa kira-kira 14 jam untuk menyiapkan 100 batang lemang dan 48 set rendang ayam dan enam rendang jantung pisang serta rendang daging versi vegan.

“Kami menerima tempahan dalam tempoh seminggu…Ini adalah kali pertama kami membuat lemang untuk dijual.

“Paling menggembirakan ialah bila semua orang terlibat dalam menyediakan lemang dan rendang. Secara tidak langsung, ia menimbulkan suasana sambutan Hari Raya dan kami juga belajar proses membuat lemang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kaunselor Mimi Kaur Ramday berkata acara tahunan Rumah Terbuka Aidiladha yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Bangkok amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Bagaimanapun, sambutan tahun ini dibatalkan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kami berharap ia akan memberi mereka peluang menikmati hidangan seperti di kampung halaman…Bagi mereka yang tidak dapat pulang meraikan Aidiladha, ini akan mengubat rasa rindu kepada kampung halaman mereka.

“Kebanyakan mereka berharap pihak kedutaan akan meneruskannya (menjual lemang dan rendang) tahun depan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :