Kemusnahan di lokasi letupan di kawasan pelabuhan Beirut, Lubnan pada 5 Ogos 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Letupan Beirut: Tiada laporan mangsa dari Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Belum ada laporan mengatakan terdapat mangsa letupan besar di Beirut, Lubnan membabitkan rakyat Malaysia setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata sehingga kini, kesemua rakyat Malaysia yang berada di ibu negara Lubnan dilapor selamat walaupun jumlah korban akibat kejadian yang berlaku seminggu lepas itu mencecah 160 orang manakala 5,000 lagi cedera dan 60 orang dilapor masih hilang.

Mohd Redzuan berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) yang ingin tahu sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terkesan dengan insiden itu, pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri hari ini.

Insiden dua letupan besar dilapor menggegarkan ibu negara Lubnan itu pada 4 Ogos dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut kira-kira 6.10 petang waktu tempatan.

Menjawab soalan asal Dr Kelvin mengenai rancangan kerajaan menyalurkan bantuan kepada negara berkenaan, Mohd Redzuan berkata Malaysia setuju untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta seperti mana diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos lepas.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara pada 10 Ogos telah mengeluarkan surat kebenaran berbelanja kepada Kementerian Luar bagi bayaran sumbangan berkenaan kepada Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).

“Kementerian Luar sedang meneliti beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan bagi menyalurkan sumbangan ini kepada Pertubuhan Palang Merah Lubnan dan perkara ini akan dimuktamadkan dengan kadar segera,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :