Gunung berapi Sinabung di Indonesia meletus memuntahkan debu setinggi lima kilometer ke udara pada 10 Ogos 2020. Foto: REUTERS
AGENDAALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Letusan Sinabung tidak jejas kualiti udara Malaysia hujung minggu

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Khabar mengenai kesan debu gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia akan menjejaskan kualiti udara di Malaysia sehingga hujung minggu ini adalah tidak benar, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam satu kenyataan semalam berkata debu daripada letusan pada 10 Ogos itu tidak lagi memberi sebarang kesan kepada negara.

“Malahan sebelum ini, ia hanya menjejaskan operasi penerbangan tetapi tidak menjejaskan kualiti udara,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai isu berkenaan, sebaliknya perlu sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui lama web rasmi, dan aplikasi myCuaca.

Menurutnya pada ketika ini gunung berapi Sinabung masih lagi aktif dan boleh meletus semula pada bila-bila masa.

Isnin lepas, gunung berapi itu meletus pada pukul 11.37 pagi yang menyaksikan asap debu letusan itu memasuki ruang udara negeri Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang, namun ia tidak menjejaskan kualiti udara negara.

-BERNAMA


Pengarang :