Pelancaran Majlis Serahan Insentif Input Pertanian oleh EXCO Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim di Pusat Pertanian Parit 1, Sungai Besar pada 21 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSELANGOR

Loji milik PKPS hasil lapan tan baja kompos sehari

SABAK BERNAM, 21 OGOS: Loji pemprosesan baja kompos milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang terletak di daerah ini beroperasi sepenuhnya, kata EXCO asas tani.

Ir Izham Hashim berkata loji bernilai RM4.5 juta itu mampu mengeluarkan lapan tan baja berkenaan sehari bagi memenuhi keperluan sektor pertanian di negeri ini.

“Hasil kerjasama PKPS dengan Taiwan, kita berjaya hasilkan baja kompos menggunakan tinja ayam dalam tempoh hanya tujuh hari berbanding tempoh sehingga 21 hari sebelum ini.

“Penggunaan mikrob dalam baja kompos boleh memulihkan kualiti tanah dengan cepat menjadi lebih subur sekaligus meningkatkan hasil tanaman,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Sungai Besar hari ini.

Izham berkata pihaknya mempergiatkan kempen penggunaan baja berkenaan dalam kalangan petani di Selangor.

“Perancangan Kerajaan Negeri pada masa depan ialah memastikan sektor pertanian menggunakan baja kompos sepenuhnya yang tidak membawa kemudaratan kepada alam sekitar.

“Penggunaan baja kimia secara berlebihan dan berterusan terhadap tanaman menjadi antara penyumbang pencemaran alam sekitar kerana ia bukan saja merosakkan struktur tanah, malah turut mencemari sumber air berhampiran kawasan pertanian,” katanya.


Pengarang :