Gegaran letupan kuat di kawasan pelabuhan ibu kota Lubnan pada 3 Ogos 2020 dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer daripada lokasi kejadian. Foto: REUTERS
AGENDAGLOBAL

Lubnan: Hampir 80 maut, 4,000 cedera akibat letupan besar

BEIRUT, 5 OGOS: Jumlah angka korban dalam letupan kuat yang berlaku di sebuah gudang di pelabuhan dekat sini sekitar 6.10 petang waktu tempatan ( 11.10 malam waktu Malaysia) pada Selasa terus meningkat.

Setakat ini lebih 78 individu terbunuh dan hampir 4,000 penduduk lagi dilaporkan cedera dalam dua siri letupan besar di ibu kota negara itu lapor agensi berita The Guardian.

AFP melaporkan letupan itu didakwa berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat untuk pertanian yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab berkata siasatan menyeluruh sedang dilakukan begitu juga mengesan individu yang bertanggungjawab.

“Mereka yang didapati bersalah sehingga terjadinya malapetaka ini akan menerima balasan,” katanya.

Ketua Keselamatan Awamnya, Abbas Ibrahim pula berkata bahan mudah meletup itu sudah dirampas beberapa tahun lalu dan disimpan di gudang berkenaan yang terletak berdekatan dengan lokasi tumpuan orang ramai bagi aktiviti membeli belah dan berhibur pada waktu malam.

Majlis Pertahanan Lubnan turut mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan turut merayu negara sekutunya untuk menghulurkan bantuan dalam menangani malapetaka itu.

Asap tebal memenuhi ruang di kawasan kejadian letupan di Beirut, Lubnan pada 4 Ogos 2020. Foto REUTERS

Kebanyakan negara dunia merakamkan ucapan takziah termasuk negara Teluk manakala Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan penghantaran bantuan.

Keadaan hospital di ibu kota itu yang sedang bergelut untuk merawat pesakit Covid-19 bertambah sesak dengan individu tercedera akibat letupan.

Tragedi itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara itu yang sedia terjejas.

Arab News melaporkan gegaran kuat akibat letupan itu boleh dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer daripada lokasi kejadian.

Kebanyakan daripada mereka menyangka insiden itu berpunca daripada gegaran kuat akibat gempa bumi.

Akibat daripada letupan itu banyak bangunan di ibu kota itu turut musnah dengan tingkap kediaman berkecai dan siling runtuh.


Pengarang :