ADN Morib Hasnul Baharuddin (kiri) mendengar penjelasan bomba mengenai insiden kebakaran Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat. Foto: Facebook Komuniti Kuala Langat
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Maahad tahfiz terbakar, ADN Morib hulur bantuan awal

SHAH ALAM, 4 OGOS: Ahli Dewan Negeri Morib menyumbang bantuan awal sebanyak RM2,000 kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat di Banting yang terbakar pagi tadi.

Hasnul Baharuddin berkata bantuan itu dapat meringankan beban pusat berkenaan terutama dalam mengendali kebajikan pelajar.

“Bantuan segera ini boleh digunakan untuk kos pengangkutan pelajar kerana difahamkan pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Hasnul yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor meluangkan masa melawat lokasi kejadian.

Pagi tadi, seramai 131 pelajar perempuan sekolah tahfiz berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar.

Kejadian jam 5.45 pagi tadi itu berlaku ketika mereka sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.


Pengarang :