AGENDAEKONOMINASIONAL

MAHB catat rugi bersih RM91 juta pada suku kedua 2020

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM91.06 juta dalam suku kedua 2020 berbanding keuntungan bersih RM160 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Hasil bagi suku yang berakhir 30 Jun, 2020, itu turun sebanyak 78.4 peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya kepada RM272.2 juta sejajar dengan penurunan ketara pergerakan penumpang sebanyak 96 peratus.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata impak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dan penutupan sempadan menyebabkan hasil operasi lapangan terbang jatuh menjunam sebanyak 80 peratus kepada RM238.7 juta.

“Keseluruhannya, operasi Malaysia dan Turki mencatatkan penurunan hasil yang ketara masing-masing sebanyak 75.5 peratus kepada RM221.6 juta dan 89.0 peratus kepada RM35.1 juta,” kata syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan sehingga Jun, 2020, pengendali lapangan terbang itu mencatatkan kerugian bersih RM111.45 juta berbanding RM309.65 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala hasil menyusut kepada RM1.2 bilion berbanding RM2.5 bilion sebelumnya.

Pada masa depan, katanya, pengenalan Laluan Hijau Malaysia-Singapura yang diumumkan oleh menteri luar Malaysia dan Singapura pada 14 Julai, 2020, merupakan satu permulaan yang baik.

Sementara itu, MAHB berkata ia tidak akan mengurangkan usahanya bagi memastikan persekitaran lapangan terbang yang selamat kepada pengunjung dan memulihkan keyakinan terhadap perjalanan udara.

Mengenai impak daripada sekatan perjalanan dan larangan yang belum pernah terjadi sebelumnya terhadap industri penerbangan, syarikat itu berkata ia telah mengambil langkah awal dan segera untuk mengurangkan kesannya bagi menstabilkan syarikat dengan melaksanakan pelan mengoptimumkan kos secara agresif.

-BERNAMA


Pengarang :