BERITA UTAMASELANGOR

Mahu tumpu pulihkan ekonomi, Selangor belum tentu sertai PRU

SHAH ALAM, 12 OGOS: Selangor tidak mempunyai keperluan menyertai pilihan raya umum (PRU) mengejut kerana mahu memberi tumpuan pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi bagi membantu rakyat keluar daripada tekanan kesan Covid-19.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor berkata semua analisis data berkaitan bagi PRU diambil kira sebelum membuat keputusan itu.

“Kita akan lakukan analisis dan melihatnya (terlebih dahulu). Sebagai kerajaan kita mempunyai kestabilan dan majoriti kukuh dua pertiga di Dewan Negeri Selangor (DNS). Untuk (menghadapi) Covid-19 kita perlukan kerajaan yang kukuh.

“Sudah pasti kita tidak perlukan pilihan raya untuk mengesahkan (status) Kerajaan kita. Kita tidak mempunyai majoriti tipis yang boleh dipersoalkan parti lain berbeza dengan Kerajaan Persekutuan serta negeri lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui di Pusat Membeli Belah Plaza Alam Sentral hari ini.

Beliau menjelaskan KEADILAN Selangor tetap bersedia untuk sebarang kemungkinan dan akan melakukan perbincangan lanjut walaupun tidak berdepan masalah di peringkat Pakatan Harapan negeri.

Sebelum ini terdapat desas-desus di peringkat pusat akan berlaku pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan tahun ini ketika negara berdepan proses pemulihan Covid-19.

Setakat ini hanya Sabah akan mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) 30 Julai lalu.


Pengarang :