AGENSISELANGOR

Maritim Selangor tahan feri bawa lebih had penumpang

SHAH ALAM, 4 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua feri yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan membawa penumpang melebihi had di Pelabuhan Klang petang kelmarin.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata feri dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang itu masing-masing membawa 119 dan 124 penumpang serta tiga kru.

“Had penumpang feri adalah 80. Jumlah penumpang ramai menyebabkan tiada penjarakan fizikal seperti ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Dua feri ini turut melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata susulan itu feri serta kru kapal berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342).


Pengarang :