Dato’ Teng Chang Khim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Masyarakat manfaatkan landasan digital akibat Covid-19, terbaik pulih niaga

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pandemik Covid-19 menyebabkan masyarakat beralih menggunakan landasan digital bagi membolehkan hubungan komunikasi dijalin dengan baik, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia sekali gus membuktikan pendigitalan adalah kaedah terbaik untuk membantu perniagaan dipulihkan ketika ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri percaya penganjuran Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) amat bertepatan kerana dapat mengenal pasti isu ekonomi serantau akibat pandemik Covid-19.

“Melalui program ini, kita dapat berkongsi cara jalan terbaik untuk menangani virus yang sudah berada dengan kita hampir setengah tahun,” katanya ketika berucap pada Webinar SABC, hari ini.

Turut sama menerusi webinar itu ialah Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Richard Record; Pengarah Urusan China-ASEAN Investment Cooperation Fund, Than Su Ee; Pengarah Urusan International Data Corporation (IDC) ASEAN, Sudev Bangah dan Profesor Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Jamal Othman.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata beliau yakin negara-negara ASEAN mampu menghadapi kemelut Covid-19 kerana mempunyai sumber yang banyak.

“ASEAN mempunyai tenaga kerja mahir dan pasaran yang amat besar berikutan mempunyai populasi penduduk kira-kira 640 juta dan berharap SABC dapat membuka peluang lebih komprehensif kepada semua peserta terutama dalam tempoh pemulihan ini,” katanya.

Bertemakan ‘Asean: A Beacon of Light in a Pandemic-hit World Economy’, SABC secara maya itu dianjurkan Invest Selangor Berhad dan akan disusuli dengan acara utama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 pada 14 Oktober depan.


Pengarang :