Enam penunggang motosikal yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berumur 20 hingga 27 tahun. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

‘Mat rempit’ wanita antara ditahan tunjuk aksi bahaya

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Enam penunggang motosikal yang melakukan pelbagai aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara ditahan menerusi Op Samseng Jalanan awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berumur 20 hingga 27 tahun.

Beliau berkata Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman yang sedang membuat pemantauan operasi kira-kira 1.15 pagi, telah mengekori enam motosikal.

“Mereka diekori ketika melakukan aksi bersaing sesama sendiri, aksi meniarap atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua belah kaki ke belakang, aksi zig-zag dan aksi menunduk badan bermula di KM257 sehingga KM269 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara.

“Aksi-aksi mereka amat membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd Nadzri berkata pihaknya telah menahan kesemua suspek apabila mereka memberhentikan motosikal di kawasan Stesen Minyak Petronas Technology Park, Sungai Besi kira-kira 1.40 pagi.

Katanya, kesemua suspek bersama motosikal dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya dan ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA


Pengarang :