Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar pada sidang media Perasmian Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri di Bilik MTES Suk, Shah Alam pada 18 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: 20 lokasi Friends of River dilancar serentak 26 September

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kerajaan Negeri bakal melancarkan inisiatif Friends of River (FoR) di 20 lokasi sempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Selangor pada 26 September ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata FoR diwujudkan di setiap sungai seluruh negeri ini bagi pemeliharaan dan pemuliharaan oleh komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin tempatan.

“Pelancaran inisiatif ini pada asalnya dijadual sekitar Mac lalu ditunda ke September berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia akan dilancarkan serentak secara minima mengikut tatacara operasi piawai (SOP) tanpa melibatkan jumlah peserta atau komuniti yang ramai dalam satu masa,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Amirudin dijangka melancarkan program tersebut di Sungai Klang, Taman Melawati, Gombak yang akan disiarkan secara langsung menerusi media sosial bagi menggalakkan penglibatan ramai komuniti.

Program yang dijadual bermula jam 8.30 hingga 10 pagi itu menumpukan aktiviti gotong-royong pembersihan sungai.

Sambutan Hari Sungai Sedunia disambut pada Ahad minggu terakhir September bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan sungai kepada semua kehidupan.

Sambutan ini dimulakan pembela sungai tersohor antarabangsa, Mark Angelo pada 2005 bagi meraikan saluran sumber air semulajadi di dunia.

Tahun ini merupakan sambutan ke-16 yang disambut lebih 60 negara seluruh dunia.


Pengarang :