Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Air Selangor dan Putra Business School dan Majlis Graduasi Program Pembangunan Kepimpinan Air Selangor Sesi 2018/2020 berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 19 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 400km paip usang sudah diganti, fokus lokasi risiko tinggi

SHAH ALAM, 19 OGOS: Selangor sudahpun menggantikan 400 kilometer (km) paip usang sejak 2016 demi keselesaan rakyat, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata kerja penggantian itu memfokuskan kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi kerap mengalami tekanan air tidak stabil.

“Bermula 2016, setiap tahun Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) membuat kerja penggantian paip sepanjang 150 km, tetapi pada tahun ini, sekiranya kedudukan kewangan semakin baik, kita akan tambah lagi jumlah paip yang akan digantikan.

“Air Selangor komited untuk mengantikan paip-paip lama ini kerana ia merupakan perancangan 30 tahun mereka sebagai langkah proaktif mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Air Selangor dan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Pada 6 November tahun lalu, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata peruntukan keseluruhan RM526 juta disediakan bagi program penggantian paip dari 2016 sehingga 2019.

Kebanyakan paip lama yang dikenal pasti untuk diganti menggunakan paip jenis Simen Asbestos, yang mudah terhakis kerana dibuat daripada simen dan serat asbestos yang merosot selepas lama digunakan.

Paip Simen Asbsetos itu akan diganti dengan paip generasi baharu yang lebih mantap seperti paip Keluli Lembut (MS), Klorida Plivinil Tidak Berplastik (uPVC), Polietilina Ketumpatan Tinggi (HDPE) dan paip Besi Mulur (DI).


Pengarang :