AGAMABERITA UTAMASELANGOR

MB: Ambil iktibar perancangan Nabi Muhammad kembang syiar Islam

SHAH ALAM, 19 OGOS: Perancangan rapi Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Maal Hijrah untuk mengembangkan syiar Islam dan membawa pembukaan Kota Mekah harus menjadi iktibar dalam merencana setiap misi.

Dato’ Menteri Besar berkata Rasulullah akan selamanya dikenang dalam sejarah bukan hanya kerana berjaya mengubah iktikad dan iman golongan musyrikin malah aturan (tatanan) sosial serta politik dunia.

“Salah satu detik terpenting dalam sejarah Islam adalah peristiwa Maal Hijrah. Kesusahan hidup, himpitan boikot ekonomi dan tekanan politik melatari gerak kerja dakwah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang akhirnya mencetuskan penghijrahan ke Kota Madinah.

“Terdapat susunan perancangan strategi dan taktikal yang sangat rapi bagi mencapai objektif lebih besar: kelangsungan agama Islam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1442H.

Dalam menjayakan peristiwa bersejarah itu, Amirudin berkata delegasi awal telah dihantar menyediakan persiapan serta mengumpul maklumat diketuai Abdullah Abu Bakar, putera kepada sahabat utama baginda yang setia.

“Pengorbanan Saidina Ali menjadi petanda simbolik peranan yang boleh dimainkan oleh anak muda dalam mana-mana pergerakan. Begitu juga kerjasama pintar bersama pihak ketiga yang neutral seperti Abdullah Uraiqit bagi menjamin kerahsiaan plot sebegitu mustahak ini.

“Semua dinyatakan menunjukkan betapa rapinya persiapan dalam merencana grand strategy yang akhirnya membawa kepada kemuncaknya dengan peristiwa pembukaan Kota Mekah,” katanya.

Amirudin berkata mengambil iktibar daripada peristiwa itu Kerajaan Selangor menyelaraskan perancangan rapi dengan semua agensi seperti ketika koordinasi serta kompak diperlukan di Bilik Gerakan Covid-19 di saat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perancangan rapi ini juga diterjemahkan tiap tahun dalam dokumen Belanjawan yang tahun ini kita bentangkan November hadapan. Semoga Allah merahmati terus Selangor dalam pecutannya untuk berhijrah menjadi Negeri Pintar Menjelang 2025,” katanya.


Pengarang :