Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerima bungkusan buku sebagai gimik Pelancaran Perkhidmatan Baharu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) “BooksFly2U” di Dewan Annexe, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

MB galak tabiat membaca guna BooksFly2U

SHAH ALAM, 20 OGOS: Khidmat pinjaman buku BooksFly2U yang dilancarkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat awam.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu selari dengan norma baharu tanpa perlu mengorbankan tabiat membaca orang awam.

“PPAS telah mengambil pendekatan proaktif menggalakkan budaya membaca dengan menyediakan perkhidmatan meminjam buku secara e-panggilan.

“Ambil peluang ini dengan WhatsApp di talian 010-8491488 atau telefon 03-55197667 untuk maklumat lanjut. Dengan ilmu pengetahuan, kita mampu membangunkan Selangor lebih jauh dan maju,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitternya hari ini.

Melalui program yang dilancarkan pada 16 Julai lalu, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor berkenaan di mana ia beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari 9 pagi hingga 5 petang.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan manakala kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

PPAS sebelum ini berkata novel fantasi Harry Potter karya J. K. Rowling dan buku kanak-kanak penulis termasyhur Enid Blyton antara naskhah paling popular dipinjam melalui BooksFly2U.

Pengarahnya, Mastura Mohamad berkata kanak-kanak 12 tahun menjadi peminjam buku paling muda di mana jumlah peminjam kini direkodkan lebih 200 orang.


Pengarang :