Pengunjung perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah atau MySejahtera sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Kekal guna SELangkah kesan jangkitan Covid-19

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dikekalkan meskipun kerajaan mewajibkan penggunaan MySejahtera di semua premis seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan menggabungkan kedua-dua aplikasi bagi menjejaki jangkitan Covid-19 dibincangkan bersama Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba.

“Kita kekalkan SELangkah kerana ia melengkapi MySejahtera, malah perbincangan awal dengan menteri kesihatan untuk menggabungkan kedua-dua aplikasi demi kesejahteraan masyarakat.

“Apa yang penting SELangkah akan terus mengenal pasti kontak rapat Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 di sini hari ini.

Media semalam melapor kerajaan akan mewarta kewajipan pengunaan MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Langkah itu susulan Kementerian Kesihatan berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif.

Aplikasi SELangkah yang digunakan di 77,470 premis dimanfaatkan oleh 6.15 juta individu setakat 15 Julai lalu, menghampiri jumlah keseluruhan rakyat Selangor.


Pengarang :