Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media Perasmian Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri di Bilik MTES Suk, Shah Alam pada 18 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Lima insiden tumpahan minyak berjaya ditangani

SHAH ALAM, 18 OGOS: Lima insiden tumpahan minyak di negeri ini berjaya ditangani segera menerusi Ops Sumber Air bermula 1 Jun sehingga 1 Ogos lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan pantas itu mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) utama di Sungai Selangor, Labohan Dagang dan Bukit Tampoi di Sungai Langat serta Sungai Labu dan Salak Tinggi.

Menurut Amirudin, tempoh masa henti tugas loji terlibat dengan insiden pencemaran Kod Merah juga dapat dikurangkan menerusi operasi bersepadu Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan beberapa agensi berkaitan.

“Ini membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu dilaksanakan Luas yang bertugas 24 jam tanpa henti dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Pengurusan Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK), Unit Pengurusan Bencana, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Pejabat Daerah dan Tanah, polis serta pihak berkuasa tempatan.

“Pemantauan ini meliputi 20 lokaliti yang dikenal pasti sebagai kawasan sensitif sumber air termasuk kawasan tadahan air empangan, rizab sungai, premis dilesenkan, loji IWK dan sekitar kawasan perindustrian berisiko berdasarkan rekod pencemaran sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perasmian Hari Sungai Sedunia 2020 Peringkat Selangor 2020 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Lima insiden tumpahan minyak seperti berikut:

1) Aliran pelepasan kolam sumber air alternatif KLLarut pada 27 April
2) Stesen Jana Kuasa Kuala Langat pada 4 Mei
3) Kemalangan lori membawa muatan sawit dan terbakar di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada 4 Jun
4) Pembuangan minyak hitam di longkang Jalan Olak Lempit pada 15 Jun
5) Kemalangan sebuah pacuan empat roda pada 18 Jun


Pengarang :